Wednesday, October 27, 2010

SEJARAH ORKESTRA RTM

Orkes Radio Malaya telah ditubuhkan pada tahun 1961 oleh Ahmad Merican (kini Tan Sri) bersama-sama dengan pemimpin awalnya Alfonso Soliano di mana keanggotaan ahli muzik ketika itu adalah seramai 13 orang termasuklah Dato Ahmad Nawab, dan Dato Johari Salleh . Apabila radio dan TV bergabung pada tahun 1967, maka Orkestra ditukarkan nama kepada Orkestra RTM.
Sebagai sebuah orkestra di bawah Jabatan Penyiaran, penubuhannya telah memainkan peranan penting di dalam memartarbatkan lagu-lagu tempatan dari berbagai genre samada patriotik ke jazz. Siapa tidak kenal dengan pecipta lagu seperti Jimmy Boyle, Mahzan Manan, Ibrahim Bachek, Osman Ahmad , Tan Sri P. Ramlee, Kassim Masdor ,dan ramai lagi yang menjadikan orkestra RTM sebagai kumpulan muzik utama di dalam lagu-lagu ciptaan mereka. Selain dari itu penggubah ternama seperti Gus Steyn, Ooi Eow Jin, Ahmad Shariff, Tan Chong Yew, Rahman Rahmat selian dari Dato Johari dan Datuk Ahmad Nawab sendiri telah melakar sejarah bersama orkestra.
Orkestra RTM pernah juga pada zaman awalnya mendapat latihan khusus dari pemuzik ternama dunia iaitu Charlie Mariano dan Herb Pomeroy yang telah menjadikan Orkesra RTM begitu mantap . Malah persembahan di konsert di Raja, konsert Perdana seperti Malam Irama Malaysia masih kekal di dalam ingatan.
KIni Orkestra RTM telahpun berusia 49 tahun dan bakal menyambut Golden Celebration atau Jubli Emasnya pada tahun 2011 dan ianya layak digelar orkestra bertaraf antarabangsa apabila baru-baru ini diundang membuat persembahan di pentas dunia iatu JAVA INTERNATIONAL JAZZ FESTIVAL pada 7hb Mac 2010. Orkestra RTM telah melahirkan 16 buah CD berbagai genre termasuklah CD Jazz Tribute to Malaysian Songs yang telah diedarkan di seluruh dunia dan juga dimasukkan di dalam Music on Demand Sistem Penerbangan Malaysia.
Orkestra RTM yang kini dianggotai oleh gabungan pemuzik muda dan senior kini mempunyai keanggotaan seramai 30 orang dan masih merupakan Orkestra Pilihan No1 negara dengan kemunculan di Konsert di Raja dan konsert-konsert berprestij seperti Malam Simfoni Irama Malaysia serta Simfoni Putrajaya yang telah melakar sejarah di dalam Malaysian Boook Of Record sebagai konsert paling besar di pentas terbuka.
Orkestra RTM selepas penjenamaan semula telah melangkah ke dalam industri muzik negara dalam membantu mengembalikan kegemilangan melalui kerjasama dengan Warner Music melalui album Orkestra RTM bersama SM Salim dan juga kerjasama dengan LIFE Rekod melalui album Orkestra RTM bersama Ismail Haron selain dari membuat penerbitan bersama kumpulan baru seperti One Nation MCs dan juga bintang-bintnag baru kelahiran RTM seperti album Ernie bersama FMC Music.
Kini Orkestra RTM menerbitkan DVD pertamanya yang boleh ditonton oleh peminat-peminatnya dari berbagai golongan. Semoga RTM Orkestra akan menjadi ikon di dalam industri muzik akan datang dan juga tradisi orkesra yang merupakan aset penting bagi RTM akan terus berkekalan sampai bila-bila dalam memartabatkan Muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment