Wednesday, October 27, 2010

SIDANG MEDIA ACARA KEMUNCAK RENTAK JUARA AKHIR 2010 : JULANG JATI DIRI

Penantian untuk mengetahui siapakah yang layak bertanding ke Peringkat Rentak Juara Akhir 2010 pada 17 Julai ini telah pun terjawab.Kini lapan buah kumpulan telah berjaya mara ke pentas Rentak Juara Akhir 2010 setelah mereka bersaing pada setiap minggu berturut- turut sebanyak sepuluh episod iaitu dari Konsert Suku Akhir 1 hingga Konsert Separuh Akhir SMS bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir.
Tahniah buat kumpulan Superfriends, Car Crash Hearts (CCH), Enigmatic – Six (E-6), Anthem, Enava, Alternature, D’Rough Mixture dan Brownees.

Bagi mengumumkan lapan kumpulan finalis yang bakal berentap ke Rentak Juara Akhir 2010, majlis Sidang Media diadakan pada 8 Julai 2010 jam 3.00 petang bertempat di Red Box Karaoke, The Gardens. Majlis yang dirasmikan oleh Puan Norliza Md. Ali, Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV akan menyempurnakan majlis sidang media bersama Penerbit Eksekutif program Rentak Juara dan Dato Mokhzani Ismail, Pengarah Orkestra.

Menyentuh tentang latar belakang program Rentak Juara ini, program realiti bercorak pertandingan pemuzik berkumpulan ( band ) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah diterbitkan sekitar tahun 70-an menerusi pertandingan Juara Kugiran. Pada tahun 2004, RTM menerbitkan semula pertandingan ini dengan menukar nama rancangan iaitu Rentak Juara, Rhythm Of Champion (RJROC).
Syarat pertandingan yang terbuka kepada pemuzik profesional sahaja melahirkan nama seperti Thunderstorm, NRG, Big Band, Skyhigh dan Gerhana Ska Cinta. Pada tahun 2006 dan 2008, Rentak Juara terbuka kepada pemuzik amatur sahaja, maka lahirlah band pemuzik RTM seperti Fenomena dan Aisunam.

Lain dari tahun yang sebelumnya, pada tahun 2010, Rentak Juara memperkenalkan slogan baru iaitu Julang Jati Diri dengan penglibatan pemuzik amatur dan profesional. Kali ini, Rentak Juara 2010 memperjuangkan lagu-lagu ciptaan tempatan berbahasa Malaysia dan lagu ciptaan sendiri.

Program Rentak Juara mengambil berat tentang pemilihan dan penilaian atas kumpulan pemuzik yang ingin melibatkan diri dalam pertandingan ini. Demikian itu, Pencarian bakat Rentak Juara 2010 telah diadakan pada 9 Januari 2010 yang bermula di Sabah dan Sarawak seterusnya berakhir di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 7 Mac 2010.

Seramai 400 buah kumpulan telah menghadiri uji bakat dan 30 kumpulan terbaik yang dipilih untuk bersaing dalam minggu konsert suku akhir. Lima kumpulan kumpulan dipertandingkan pada setiap minngu menerusi konsert suku akhir dan akan memilih dua kumpulan sahaja ke Peringkat Separuh Akhir. Setiap kumpulan yang berjaya akan bersaing di peringkat Separuh Akhir 1 dan Separuh Akhir 2 dengan mempertaruhkan tujuh kumpulan pada konsert separuh akhir. Setelah dinilai oleh para juri profesional, akhirnya memilih enam kumpulan dari separuh akhir 1 dan 2 untuk mara ke Peringkat Akhir manakala dua lagi kumpulan yang berjaya meraih keputusan dari undian SMS tertinggi pula menyusur ke Peringkat Akhir. Kini lapan buah kumpulan bakal berentap ke acara kemuncak Rentak Juara Akhir 2010.

Selamat datang buat Superfriends, Car Crash Hearts (CCH), Enigmatic – Six (E-6), Anthem, Enava, Alternature, D’Rough Mixture dan Brownees yang kesemuanya bakal disaksikan persembahan untuk merebut gelaran juara di pentas Rentak Juara Akhir 2010 pada 17 Julai 2010, yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban mulai jam 8.30 malam dan bersiaran di saluran TV2.

Rentak Juara 2010 bertujuan untuk memberi platform bagi mengetengahkan bakat pemuzik-pemuzik di Malaysia dari pelbagai kaum yang serba boleh ( versatile ) dan bermutu. Ia juga bertujuan untuk memupuk semangat bertanding yang sihat dan membantu meningkatkan industri muzik tanahair. Selain itu, Rentak Juara memberi peluang kepada masyarakat umum untuk mendekati RTM dan secara tidak langsung membantu merakyatkan RTM.

Konsep dan tema Rentak Juara 2010 adalah merupakan sebuah rancangan pertandingan kumpulan – kumpulan pemuzik yang bukan sahaja serba boleh dalam mengetengahkan pelbagai genre muzik tetapi menjadi para pemuzik yang mempunyai jati diri 1Malaysia yang berkualiti. Semangat 1Malaysia disemai melelaui penerapan Julang Jati Diri yang menjadi teras utama Rentak Juara. Para peserta bertanding berdikari atas kebolehan mencipta lagu sendiri, menjaga imej dan paling utama bersatu dalam karya-karya yang mengutamakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia.

Buat pertama kali, Rentak Juara menerbitkan sebuah program yang berkisar tentang disebalik tabir dan diari para peserta Rentak Juara sebanyak 13 episod selama 30 minit di TV2. Program berkonsepkan diari harian dan aktiviti kumpulan ini diberi tajuk DENTUM RENTAK JUARA yang akan bersiaran bermula 13, 14, 15, 16 dan 17 Julai 2010 sebagai kiraan detik kepada rancangan Pertandingan Akhir Rentak Juara 2010. Dentum Rentak Juara akan disiarkan pada jam 3.30 petang di TV2 bersama pengacara Odey Petra a.k.a Mat Rock Indie sepanjang siaran program Dentum tersebut.

Hadiah yang akan disampaikan kepada para pemenang mempunyai lima kategori, iaitu Juara akan meneriam wang tunai berjumlah RM200,000.00 serta membawa pulang trofi dan sijil penyertaan. Naib Juara pula akan menerima wang tunai berjumlah RM 50,000.00 beserta trofi dan sijil penyertaan manakala untuk kategori Kumpulan Paling Popular akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM 30,000.00 dan trofi, bagi kategori Lagu Terbaik akan menerima wang tunai berjumlah RM 20,000.00 beserta trofi. Selain itu, terdapat lima lagi kategori hadiah bagi pemenang individu iaitu Vokal Terbaik, Pemain Gitar Terbaik, Pemain Drum Terbaik, Pemain Bass Terbaik dan Pemain Keyboard Terbaik. Hadiah ditaja oleh JS Music Sdn. Bhd.

Eksklusif buat para penyokong dan peminat 8 finalis ini, Konsert Pra Rentak Juara akan mendekati peminat setianya selain membuat persediaan dalam persembahan mereka di kemuncak akhir Rentak Juara pada 17 Julai ini. Nantikan persembahan mantap dari Enava, D’Rough Mixture, Anthem, Car Crash Heart, Alternature, Enigmatic – Six (E-6),Superfriends dan Brownees menerusi Konsert Pra Rentak Juara minggu ini pada 10 Julai 2010 (Sabtu) yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Perdana Angkasapuri pada jam 8.30 malam di TV2.

No comments:

Post a Comment